Tuesday, December 04, 2012

Penyakit Umat

Islam jatuh, runtuh dan lemah kerana penyakit-penyakit yang timbul dalam kalangan umat Islam sendiri, dipengaruhi dengan hiburan duniawi sehingga menyebabkan mata yang celik menjadi buta dan telinga yang sihat menjadi tuli. Saya berminat untuk berkongsi beberapa penyakit yang menjadi dilemma, bukan sahaja dalam kehidupan saya, bahkan hampir majoriti umat Islam.

#1 Terlalu seronok

‘weyh, today is Friday night!!’ sapa lelaki berseluar pendek paras peha itu kepada kawannya.

‘so?’

‘So, kita enjoy…!!’

Hiburan yang melalaikan jelas sekali menjauhkan seorang hamba dengan tuhannya. Di zaman jahiliah, sebelum lahirnya Rasulullah s.a.w, hiburan bagi bangsa arab di sana adalah lagu, syair, puisi, wanita dan arak. Tetapi nyata kemajuan yang ada di hadapan mata menimbulkan pertambahan dan evolusi segala macam hiburan yang lebih membenakkan hati.

Jangan lupa, kerajaan Islam Andalusia runtuh selepas ratusan tahun itu disebabkan apa? Semuanya disebabkan pemberian rokok secara percuma, arak dan hiburan yang berleluasa.

#2 Terlalu banyak harta

‘Sayang, tahun ni kita da pergi Europe. Tahun depan nak pergi mana pula?’ Kata si suami sambil membelek majalah percutian.

‘Kita tak pernah lagi pergi ke Mekah. Jom pergi sana nak?’ Jawab si isteri. Tenang.

‘Awak ni.. kita ni muda lagi. Banyak lagi masa kita. Kita pergi la Jordan ke, Mesir ke. Tu pun negara Arab jugak. Bukan mekah je..’

Sebaik-baik harta adalah harta yang disalurkan kepada jalan dakwah. Jangan kata atas nama dakwah, destinasi ke Mekah pun barangkali menjadi pilihan terakhir dalam perancangan hidup kita. Ini penyakit yang timbul kepada mereka yang hanyut dengan harta dunia.

#3 Terlalu cepat marah

‘Awak masak apa hari ni?’ Kata si suami yang sedang menghirup sirap ais.

‘Saya masak nasi goreng kampung. Makan la.’

‘Apa? Nasi goreng kampung?? Saya nak nasi goreng pataya! Nasi goreng pataya! bukan nasi goreng kampung! #$^!&%@&

Ok, sangat sadis. Penyakit yang seterusnya adalah terlalu cepat marah, sehingga perkara-perkara yang kecil pun mampu menjadi bahan pergaduhan. Saya kira, mungkin menimbulkan kemarahan orang lain juga menjadi satu penyakit?

#4 Menipu dalam perniagaan (pertimbangan)

Rasa takut kepada Allah itu akan menimbulkan rasa taat. lalu terlintas di dalam fikiran saya kisah seorang ibu dan anak yang menjual susu kambing. Sedang Umar al-khatab berjalan-jalan pada waktu malam untuk melihat rakyatnya, sahabat Rasulullah s.a.w itu terserempak dengan seorang ibu dan anak.

Kata si ibu: ‘Anakku, kita ini menjual susu kambing, asyik rugi saja. Apa kata kita tambah air dalam susu ini?’

Si anak menjawab: ‘Mana boleh mak.. Kalau khalifah tahu, mati kita mak.’

Jawab si ibu: ‘Khalifah takkan tahu punya. Bukan ada sesiapa nampak kita..’

Lalu si anak menjawab tanpa rasa was-was: ‘Kalau khalifah tak nampak, Allah nampak mak.’

#5 Hasad dengki sehingga menzalimi orang lain

‘Tok bomoh, dia ni lagi comel dari saya. Tok tiup la apa pun kat muka saya ni supaya saya lagi comel dari dia.'

‘Bereh..’ Jawab si bomoh tua sambil menghulur tangan meminta pengerasnya.

Hasad dengki itu sudah tergolong di dalam sifat mazmumah, ditambah pula lagi menzalimi orang lain sehingga membawa kepada perbuatan syirik.

Kiasan-kiasan yang saya berikan ini, cumalah satu perlambangan yang mungkin kedengaran keterlaluan. Tetapi saya percaya wujud situasi-situasi ini di dalam kehidupan seharian. Saya yakin. Maka, tujuan utama penulisan ini adalah sebagai peringatan untuk menghindari dan men’delete’ secara total penyakit yang menyelubungi kehidupan dan merosakkan hati manusia, khususnya umat islam.

Dengan izin Allah, saya masih dalam proses itu. Anda, bagaimana?

Allahua'lam

*Reflection*

Wednesday, November 28, 2012

Sebarkan Salam



Bismillah,

Agama Islam berbeza berbanding agama lain kerana Islam itu adalah agama yang sejahtera, sesuai dengan jiwa manusia. Agama Fitrah. Masih ingat firman Allah di dalam Al-Quran? Agama yang paling tinggi disisi Allah adalah agama Islam. 

Perkataan Islam berasal daripada perkataan arab iaitu 'salam' yang membawa maksud sejahtera, keamanan dan kedamaian. Rasulullah s.a.w juga menggalakkan umatnya memberi salam kepada saudara Islam yang lain. Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w juga sentiasa berlumba-lumba untuk memberi salam kerana ingin memperoleh ganjaran pahala.

Seelok-eloknya mereka yang menaiki kenderaan besar memberi salam kepada mereka yang menaiki kenderaan kecil seperti basikal atau motor, penunggang basikal atau motor pula memberi salam kepada pejalan kaki, kumpulan yang kecil memberi salam kepada kumpulan yang besar apabila bertemu, yang muda memberi salam kepada yang tua dan seterusnya. Sudah cantik susun galurnya, tinggal kita yang perlu melaksanakannya.

Allah mempertemukan saya dengan insan-insan ini, yang memberikan impak besar dalam perjalanan hidup saya mencari hikmah memulakan salam.

Hikmah #1

Saya sering melihat seorang lelaki tua, kerjanya hanya menyapu sampah pada waktu malam di Masjid Putrajaya setiap kali selesai solat terawikh. Mulutnya acap kali memberi salam kepada orang ramai yang lalu disebelahnya. Seringkali saya tewas untuk memberi salam kepadanya terlebih dahulu, malah orang yang lalu lalang di dataran itu seperti tidak sedar akan kewujudannya. 

Pernah saya tanamkan azam untuk memberi salam kepadanya, sekali lagi saya tewas kerana dia sudah berada di belakang saya dan terlebih dahulu memberi salam kepada saya.
Tukang sapu sampah yang luar biasa peribadinya. Saya cukup kagum dan malu pada diri sendiri.

Hikmah #2

Musafir saya ke Australia bersama keluarga cukup banyak mengajar saya erti syukur. Mata saya meliar mencari saudara Islam disana, dengan harapan ingin bersembang bersama mereka, mengenai Islam.

Anak-anak kecil keriangan apabila bermain-main di taman tema. Tidak kurang juga yang tua remaja. Mata saya tertacap kepada sebuah keluarga, masing-masing memakai jubah, termasuklah si lelaki di salah satu taman tema di sana. Saya hanya melihat dari jauh. Kagum. Hati saya terdetik, ‘bagaimana mereka ingin menaiki semua permainan ini dengan pakaian yang sebegitu.’

Pakaian itu tidak menghalang mereka, walau sedikit. Syukur dapat bertembung dengan keluarga itu, saya menghulurkan senyuman. Mereka memberi SALAM. Allah, saya terlupa memberi salam. Sekali lagi saya tewas. Mungkin juga mereka jarang berjumpa dengan saudara seislam, mereka cukup gembira apabila berjumpa saudara islam yang lain, walaupun orang luar seperti kami. Ucapan salam, tidak pernah lekang daripada bibir saudara Islam di sana.

Saya kagum, sekali lagi. 

Rasulullah sendiri tidak pernah menjawab salam daripada sahabatnya. Malah pernah seorang sahabat bersembunyi di belakang Baginda untuk memberi salam terlebih dahulu. Belum sempat sahabat itu memberi salam, Baginda menoleh ke belakang dan berkata 'Assalamualaikum'.

Allah mempertemukan saya dengan insan-insan yang hebat ini untuk mengajar kita semua hikmah besar memulakan salam. Ucapan sejahtera ini merupakan doa kepada saudara kita. Jom contohi ikon kita! Sebarkanlah salam!

*Reflection*

Saturday, November 24, 2012

Akhirat Minded

‘Ustaz, besar tak rumah ni?’

‘MasyaAllah, besarnya.. dah macam istana.’

‘Ustaz, besar tak main hall ini? besar, bukan? haa, hall ni boleh muat 200 orang. Maka mudahlah nanti orang akan datang untuk mendengar ceramah di rumah saya ustaz.’

Si ustaz tersenyum.

‘Ustaz, besar tak bilik tidur ini?’

‘Besar sungguh. Siapa yang akan duduk di bilik ini?’

‘Ustaz ni macam tahu-tahu je. Bilik ini saya sediakan untuk para ustaz yang akan memberi ceramah di rumah saya nanti. Di tandasnya juga ada jakuzi..’

Bertambah lebar senyuman si ustaz.

'Kehidupan dunia dijadikan terasa indah dalam pandangan orang-orang yang kafir, dan mereka menghina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa itu berada di atas mereka pada hari Kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.
(2:212)

Ramai orang yang kaya, punya harta benda, tetapi tidak semua berkongsi kekayaannya untuk jalan dakwah, untuk agama. Ramai juga yang sibuk berfikir cara paling pantas untuk mendapat wang ringgit tetapi tidak ramai yang berfikir apa yang boleh disumbangkan untuk Islam dengan rezeki yang diperoleh.

Kita singkap bagaimana orang-orang tua dahulu, menggunakan akhirat minded mereka. Jika di belakang rumah mereka terdapat beberapa batang pokok pisang bersama buahnya, si isteri pasti menyuruh si suami untuk membawa pisang-pisang itu ke masjid. Lalu, mereka sumbangkan kepada jemaah masjid.

Bayangkan, berapa banyak pahala yang mereka peroleh apabila membuat orang lain gembira dengan berkongsi rezeki yang mereka ada. Belum masuk lagi doa-doa daripada mereka yang memakan buah tersebut kepada si pemberinya.

Lantaran kita yang muda ini dikatakan lebih kreatif dan inovatif perlulah berfikir seiring dengan keadaan semasa. Tidaklah bermakna selepas ini anda perlu membawa pisang ke masjid untuk diberikan kepada jemaah di sana. 
Tetapi sekurang-kurangnya setiap dari kita ini mempunyai perancangan yang jelas dan beriltizam untuk menyumbangkan sesuatu kepada agama Islam kelak. Mudah-mudahan dengan pertambahan mereka yang berfikir tentang ilmu dan amal akan mencambahkan akhirat minded selari dengan business minded yang mampu diasah saban hari.

Maka, bukankah baik andai kita mempunyai rumah, lalu dijadikan rumah itu sebagai pusat pengajian ilmu seperti usrah keluarga. Atau kita mempunyai duit yang melimpah ruah sehingga tidak tahu perlu dibuat apa, tubuhkan yayasan untuk membantu umat Islam yang miskin pula.

Memilih bidang profesion juga mampu melahirkan akhirat minded asalkan niat yang kita letakkan untuk melakukan suatu amal itu diperhalusi dengan amal-amal yang membawa kita ke syurga. Moga Allah redha.


# Kualiti jiwa kita biarlah mengatasi kuantiti harta yang kita ada

*Reflection*

Friday, February 17, 2012

Kebiasaan yang membekukan

Norms are not always right. Apa yang orang lain buat, yang menjadi kebiasaan masyarakat belum tentu semuanya betul. Mengapa kita perlu mengikut kebiasaan yang akhirnya menjadi satu budaya dalam masyarakat sedangkan ia tidak semestinya betul, tidak semestinya tepat, tidak semestinya seiring dengan apa yang Allah perintahkan.

Mungkin kita boleh fikirkan bersama, apa yang dimaksudkan dengan 'kebiasaan'. Sebagai contoh, ramai orang ber'couple' sehingga ia menjadi satu kebiasaan. Orang yang tiada 'teman lelaki' dipandang pelik. Atau mungkin saya boleh sebutkan disini, ramai orang yg melakukan rasuah sehingga sekali lagi menjadi satu 'kebiasaan'. Tetapi adakah 'kebiasaan' itu selari dengan Islam? Saya fikir tidak.

Tiada sedikit pun perasaan bersalah bagi mereka yang melakukannya. Kerana apa agak-agaknya ya. saya kira, mungkin kerana 'KEBIASAAN' itu. Dan juga kerana pemikiran-pemikiran seperti ini, 'kalau orang lain buat, kenapa aku tidak buat..?'

Pernah atau tidak kita terfikir, 'kebiasaan' yang kebanyakan orang lakukan itu, adakah betul atau tidak. Atau mungkin pernah kita terfikir, apa yang dilakukan itu jauh dari landasan agama? Jika ada, segala puji bagi Allah. Tetapi menurut fikiran saya, masih ramai yang tidak terfikir atau malas mahu fikir, memandangkan ia telah menjadi satu 'kebiasaan'.


Ramai yang tidak akan rasa berbeza dengan orang lain apabila mengikut 'kebiasaan' itu, tetapi akan rasa pelik sekiranya mereka tidak melakukannya. Saya tidak terkejut, apalagi melatah. Kerana inilah tanda-tanda akhir zaman. Apabila yang betul dikatakan salah manakala yang salah dikatakan betul.

Tiada istilah cinta islamik, tiada istilah hadiah (padahal rasuah), atau istilah-istilah lain. Semua itu adalah Retorik! Semuanya 'kebiasaan' yang jauh dari landasan agama. Malah sanggup menggunakan agama untuk melakukan dosa. Mungkin untuk menyelamatkan diri? Saya kira, mungkin kita selamat di dunia dengan 'falsampah' itu, tapi bukan di akhirat kelak.

Apa kata, kita lakukan lain daripada yang lain. Be Different! Yes! tak perlu menjadi lembu dicucuk hidung, yang hanya mengikut rentak orang lain. Mengapa tidak?

Majority tidak selalunya benar. Biarkan kita menjadi minority andai itu yg terbaik untuk diri.

Allahua'lam.


*Reflection*