Saturday, November 24, 2012

Akhirat Minded

‘Ustaz, besar tak rumah ni?’

‘MasyaAllah, besarnya.. dah macam istana.’

‘Ustaz, besar tak main hall ini? besar, bukan? haa, hall ni boleh muat 200 orang. Maka mudahlah nanti orang akan datang untuk mendengar ceramah di rumah saya ustaz.’

Si ustaz tersenyum.

‘Ustaz, besar tak bilik tidur ini?’

‘Besar sungguh. Siapa yang akan duduk di bilik ini?’

‘Ustaz ni macam tahu-tahu je. Bilik ini saya sediakan untuk para ustaz yang akan memberi ceramah di rumah saya nanti. Di tandasnya juga ada jakuzi..’

Bertambah lebar senyuman si ustaz.

'Kehidupan dunia dijadikan terasa indah dalam pandangan orang-orang yang kafir, dan mereka menghina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa itu berada di atas mereka pada hari Kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.
(2:212)

Ramai orang yang kaya, punya harta benda, tetapi tidak semua berkongsi kekayaannya untuk jalan dakwah, untuk agama. Ramai juga yang sibuk berfikir cara paling pantas untuk mendapat wang ringgit tetapi tidak ramai yang berfikir apa yang boleh disumbangkan untuk Islam dengan rezeki yang diperoleh.

Kita singkap bagaimana orang-orang tua dahulu, menggunakan akhirat minded mereka. Jika di belakang rumah mereka terdapat beberapa batang pokok pisang bersama buahnya, si isteri pasti menyuruh si suami untuk membawa pisang-pisang itu ke masjid. Lalu, mereka sumbangkan kepada jemaah masjid.

Bayangkan, berapa banyak pahala yang mereka peroleh apabila membuat orang lain gembira dengan berkongsi rezeki yang mereka ada. Belum masuk lagi doa-doa daripada mereka yang memakan buah tersebut kepada si pemberinya.

Lantaran kita yang muda ini dikatakan lebih kreatif dan inovatif perlulah berfikir seiring dengan keadaan semasa. Tidaklah bermakna selepas ini anda perlu membawa pisang ke masjid untuk diberikan kepada jemaah di sana. 
Tetapi sekurang-kurangnya setiap dari kita ini mempunyai perancangan yang jelas dan beriltizam untuk menyumbangkan sesuatu kepada agama Islam kelak. Mudah-mudahan dengan pertambahan mereka yang berfikir tentang ilmu dan amal akan mencambahkan akhirat minded selari dengan business minded yang mampu diasah saban hari.

Maka, bukankah baik andai kita mempunyai rumah, lalu dijadikan rumah itu sebagai pusat pengajian ilmu seperti usrah keluarga. Atau kita mempunyai duit yang melimpah ruah sehingga tidak tahu perlu dibuat apa, tubuhkan yayasan untuk membantu umat Islam yang miskin pula.

Memilih bidang profesion juga mampu melahirkan akhirat minded asalkan niat yang kita letakkan untuk melakukan suatu amal itu diperhalusi dengan amal-amal yang membawa kita ke syurga. Moga Allah redha.


# Kualiti jiwa kita biarlah mengatasi kuantiti harta yang kita ada

*Reflection*

2 comments: