Assalamualaikum w.b.t
Syukur ke hadrat illahi kerana masih diberi nikmat iman dan islam. Syukur kerana masih diberi nikmat oksigen tanpa cas untuk diri ini bernafas. Syukur kerana masih dipanjangkan umur untuk memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan dalam diri. Syukur kerana masih diberi kesempatan untuk beribadat kepadaNya sebagai saham di akhirat nanti.
Saat ini, ketika ini, detik ini, hati saya terpanggil-panggil. Jiwa ini terasa merindukan sesuatu. Sungguh, saya rindu untuk beribadat di Masjidilharam. Saya rindu untuk bersolat di Masjid Nabawi. Saya rindu melihat kaabah itu. Saya rindu pada Rasulullah. rindu padaMu ya Allah..
Benarlah, Mekah dan Madinah sungguh indah. 24 jam orang bertawaf di sekitar kaabah tanpa henti. Ia bagaikan magnet yang menarik manusia untuk bertawaf di sekelilingnya. Perasaan kagum hadir kepada mereka yang pertama kali menziarahi tanah suci itu. Hati ini tidak dapat menahan sebak tatkala ingin berpisah dengannya.
Sepanjang perjalanan pulang ke airport madinah, di dalam flight, sehinggalah saya tiba di tanah air, terngiang-ngiang cerita yang diceritakan Ustaz yang menjadi tour guide kami. Saya tidak pasti mengapa cerita ini yang paling saya teringat sekali. Mungkin ada kena mengena dgn keadaan umat Islam masa kini.
Semasa saya menziarahi Madinah, bas kami melalui salah satu masjid yang dinamakan Masjid Ijabah (kalau tak silap) Kenapa masjid itu dinamakan Masjid Ijabah? Rupa-rupanya Rasul junjungan kita pernah berdoa di dalam masjid itu. Baginda memohon 3 permintaan dimana hanya 2 permintaan sahaja yang dikabulkan Allah. 1 lagi permintaan tidak dikabulkan.
Permintaan 1 - Pada ketika Rasulullah berdoa, penduduk Madinah dilanda penyakit taun yang membawa banyak kematian. Jadi Baginda memohon daripada Allah s.w.t untuk menyelamatkan penduduk Madinah dan memulihkan semula keadaan. Doa Baginda ini dimakbulkan Allah.
Permintaan 2 - Baginda meminta agar Madinah tidak lagi dilanda banjir. Sejak hari itu sehingga sekarang, Madinah tidak pernah dilanda banjir.. Malah, tanah di kota Madinah menjadi sangat subur. Seriously, Madinah sangat cantik, seperti bandar di dalam taman =) Doa baginda ini dimakbulkan Allah.
Permintaan 3 - Baginda memohon agar umat Islam tidak berpecah-belah. Namun begitu, inilah permintaan yang tidak dimakbulkan Allah s.w.t. Tetapi bukan sengaja Allah tidak memakbulkan doa Baginda itu. Ada sebabnya.
Mengapa Allah tidak memakbulkan doa Baginda yg satu ini? Allah berkata kepad Baginda bahawa Dia mahu menguji hamba-hambaNya. Dia ingin menguji bagaimana hambaNya menggunakan hukum yang ditetapkanNya. Adakah mengikut nafsu semata atau akal yang dikurniakan.
Maka tidak hairanlah umat Islam sekarang ini berpecah belah. Bukan disebabkan doa Baginda Rasulullah tidak dimakbulkan, tetapi manusia telah bertindak mengikut nafsu semata. Tidak menghayati hukum yang telah ditetapkan di dalam Al-quran sendiri. Pengamalan agama yang entah bagaimana pemahamannya. Atau terlalu taksub terhadap sesuatu.
Umat Islam lemah kerana perpecahan. Umat Islam lemah kerana pergaduhan. Umat Islam lemah kerana tidak berjemaah. Perlukah kita menuding jari kepada orang lain? Perlukah kita menyalahkan orang lain??
Cuba celikkan mata kita. Nilai diri kita sendiri. Apa yang kita sudah lakukan sebagai seorang Muslim. Apa yang sudah kita sumbangkan kepada Islam itu sendiri. Tidak perlu membuka pekung di dada. Bersatu bukan atas nama bangsa. Islam itu universal. Kenapa perlu melebih-lebihkan bangsa dari agama sendiri.
Umat Islam perlu bersatu. Ingatlah, kita akan temui semula suatu yang hilang di tempat kita kehilangannya, sering kali kegagalan memberi kita peluang untuk bermula semula dengan lebih baik. Kita kembali kepada fitrah. ISLAM ITU HEBAT!
*Reflection*