Thursday, April 04, 2013

Mesir itu Kaya Hikmah

Seorang anak perempuan kecil sedang nyenyak tidur di bangku keretapi, penat barangkali menjaja barang sepanjang hari. Umurnya mungkin sahaja 5 atau 6 tahun. Cukup matang bagi anak-anak seumur dengannya mencari duit sedangkan di satu dunia lain, anak-anak kecil sedang riang menghadiri tadika, bermain masak-masak dan belajar ABC.

Saya hanya memerhati dari jauh dengan mata hikmah. Orang sekeliling tidak sampai hati ingin mengejutkan anak kecil itu sehinggalah seorang pemuda berumur 9 atau 10 tahun masuk ke dalam gerabak. Sempat lagi menjual barang di sepanjang gerabak sambil mencampak gula-gula getah kepada penumpang. Sampai ke satu stesen, dikejutnya si kecil itu, diajak pulang ke rumah.

Mahu sahaja saya membawanya pulang ke rumah bagi membersihkan dirinya lebih-lebih lagi apabila saya melihat kuku di jari jemarinya dipenuhi darah yang entah keluar dari mana. Ia sungguh merobek hati seorang wanita, apalagi seorang ibu. Jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Muhasabah membelenggu diri.


Gambar hiasan

Saya melihat cupcakes red velvet yang dipegang rapi. Dengan mudah saya mengeluarkan duit untuk membeli sebiji cupcakes berharga 10 junaih, sedangkan anak-anak ini bekerja, bertukar gerabak sepanjang hari hanya untuk mendapat 1 junaih. Doa saya, moga anak-anak ini dimurahkan rezeki, besarlah hikmah apabila Allah melihat nilaian usaha itu melebihi hasilnya.

Di satu sudut lain, saya teringat tawaran kakak untuk mencuba segelas jus di awal ketibaan saya di bumi anbia' itu. Hati saya terdetik saat itu, pastinya peniaga di sini sama seperti di Malaysia, hanya mencampur ais dalam kuantiti yang banyak dan meletakkan harga mahal pada sebungkus air.

Nyata telahan saya menjauhi sasaran. Dua batang tebu dilalukan ke dalam mesin dan jusnya melalui seketul ais yang sangat besar. Hasilnya sebuah gelas Jus Tebu semata-mata tanpa ais yang menyejukkan diri dengan harga 1 Junaih (RM 0.50). Moga Allah memberkati mereka.

*Reflection*

No comments:

Post a Comment