Bismillah,
Agama Islam berbeza berbanding agama lain kerana Islam itu adalah agama yang sejahtera, sesuai dengan jiwa manusia. Agama
Fitrah. Masih ingat firman Allah di dalam Al-Quran? Agama yang paling tinggi disisi Allah adalah agama Islam.
Perkataan Islam berasal daripada perkataan arab iaitu 'salam' yang membawa maksud sejahtera, keamanan dan kedamaian. Rasulullah s.a.w juga menggalakkan umatnya
memberi salam kepada saudara Islam yang lain. Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w juga sentiasa berlumba-lumba untuk memberi salam kerana ingin memperoleh ganjaran
pahala.
Seelok-eloknya mereka yang menaiki kenderaan besar memberi salam
kepada mereka yang menaiki kenderaan kecil seperti basikal atau motor, penunggang
basikal atau motor pula memberi salam kepada pejalan kaki, kumpulan yang kecil memberi
salam kepada kumpulan yang besar apabila bertemu, yang muda memberi salam
kepada yang tua dan seterusnya. Sudah cantik susun galurnya, tinggal kita yang
perlu melaksanakannya.
Allah mempertemukan saya dengan insan-insan ini, yang memberikan impak besar dalam perjalanan hidup
saya mencari hikmah memulakan salam.
Hikmah #1
Saya sering melihat seorang lelaki tua, kerjanya hanya
menyapu sampah pada waktu malam di Masjid Putrajaya setiap kali selesai solat
terawikh. Mulutnya acap kali memberi salam kepada orang ramai yang lalu disebelahnya. Seringkali saya tewas untuk memberi salam kepadanya terlebih dahulu,
malah orang yang lalu lalang di dataran itu seperti tidak sedar akan
kewujudannya.
Pernah saya tanamkan azam untuk memberi salam kepadanya, sekali
lagi saya tewas kerana dia sudah berada di belakang saya dan terlebih dahulu
memberi salam kepada saya.
Tukang sapu sampah yang luar biasa peribadinya. Saya cukup
kagum dan malu pada diri sendiri.
Hikmah #2
Musafir saya ke Australia bersama keluarga
cukup banyak mengajar saya erti syukur. Mata saya meliar mencari saudara Islam
disana, dengan harapan ingin bersembang bersama mereka, mengenai Islam.
Anak-anak kecil keriangan apabila bermain-main di taman tema. Tidak kurang juga yang tua remaja. Mata saya tertacap kepada sebuah keluarga, masing-masing
memakai jubah, termasuklah si lelaki di salah satu taman tema di sana. Saya
hanya melihat dari jauh. Kagum. Hati saya terdetik, ‘bagaimana mereka ingin
menaiki semua permainan ini dengan pakaian yang sebegitu.’
Pakaian itu tidak menghalang mereka, walau sedikit. Syukur
dapat bertembung dengan keluarga itu, saya menghulurkan senyuman. Mereka memberi SALAM. Allah, saya terlupa memberi salam. Sekali lagi saya tewas. Mungkin juga mereka jarang berjumpa dengan saudara seislam, mereka cukup
gembira apabila berjumpa saudara islam yang lain, walaupun orang luar seperti kami.
Ucapan salam, tidak pernah lekang daripada bibir saudara Islam di sana.
Saya kagum, sekali lagi.
Rasulullah sendiri tidak pernah menjawab salam daripada sahabatnya. Malah pernah seorang sahabat bersembunyi di belakang Baginda untuk memberi salam terlebih dahulu. Belum sempat sahabat itu memberi salam, Baginda menoleh ke belakang dan berkata 'Assalamualaikum'.
Allah mempertemukan saya dengan insan-insan
yang hebat ini untuk mengajar kita semua hikmah besar memulakan salam. Ucapan sejahtera ini merupakan doa kepada saudara kita. Jom contohi ikon kita! Sebarkanlah salam!
*Reflection*