Bismillah,
Bulan Ramadhan hampir berakhir. Bagaimana dengan ibadah kita? Bagaimana dengan amalan kita? Tepuk dada tanya iman. Moga ini bukan Ramadhan terakhir supaya kita dapat melakukan sesuatu yang lebih baik pada Ramadhan akan datang. InsyaAllah..
Seusai membaca buku karya Ustaz Hasrizal sebanyak 3 versi, ia jelas menunjukkan betapa pentingnya pembinaan baitul muslim, iaitu melahirkan sebuah keluarga yang menitikberatkan agama Islam dalam kehidupan. Dengan pembinaan baitul muslim ini, sekaligus ia akan melahirkan masyarakat muslim, negara islam dan mengembalikan semula sistem khalifah yang sudah lama terkubur.
Terlalu muda rasanya untuk saya bincangkan mengenai perkara ini tetapi rasanya tidak salah untuk saya berkongsi realiti yang terjadi kepada anak muda khususnya pasangan yang kononnya sedang 'bercinta' menanti hari bahagia, mungkin.
Dunia sudah berbeza, pemikiran manusia juga berbeza. Jika satu ketika dahulu kita sangat aneh apabila melihat orang yang mempunyai telefon bimbit, tetapi sekarang kita aneh apabila seseorang tiada telefon bimbit. Jika dahulu wanita terkenal dengan sifat malunya, malangnya sekarang wanita sudah hilang sifat yang dituntut agama itu.
Masih ramai yang merasa aneh apabila seseorang itu masih tiada pasangan lelaki atau wanita di dalam hidupnya. Risau pabila tiada seseorang yang kononnya akan sehidup semati dengan kita. Mungkin terlalu ramai anak dara tua atau teruna tua di Malaysia ini sehingga menimbulkan perasaan fobia kepada masyarakat.
Apabila hubungan sesama lelaki dan wanita tidak dijaga sebelum tiba waktunya, begitu sukar untuk merealisasikan sebuah baitul muslim. Masih saya ingat kata-kata sahabat saya, pasangan yang bercinta hanya mampu bertahan paling lama 5 tahun. Kemudian perasaan bosan akan timbul. Apalagi jika bercinta bagai nak rak, kemudian diakhiri dgn perkahwinan, mampukah perasaan cinta itu dipupuk selepas perkahwinan?
Yakinkah kita hubungan cinta yang kita sendiri tidak pasti akan berakhir dengan perkahwinan itu diredhai Allah? Yakinkah kita apabila keluar dengan pasangan bukan muhrim berdua-duaan takkan menurunkan kemurkaan Allah? Yakinkah kita perkahwinan yang didasari percintaan sebelum berkahwin itu akan bahagia hingga ke syurga? Yakinkah kita pasangan kita itu mampu mendidik kita di alam rumahtangga andai dia jualah yang menjebakkan diri kita dalam kancah dosa dunia?
Untuk mewujudkan sebuah masjid, ia perlu didasari daripada unsur yang halal, jauh dari segala maksiat. Maka tidak hairanlah berita penceraian menjadi satu trend dalam masyarakat sekarang. Mungkin juga ada yang berpendapat, jika tidak bercerai, tak ikut trendlah. Nauzubillah, itulah akibatnya jika artis menjadi raja di jiwa.
Wahai wanita, peliharalah dirimu dari segala maksiat ini. Tidak perlu gusar, tidak perlu takut. Seorang lelaki yang sayangkan bakal isterinya akan memelihara pasangannya dari segala maksiat dan dosa. Seorang lelaki yang berjanji ingin mengahwini kita tidak akan merosakkan diri kita dengan kata-katanya yang menggoda, sehingga menimbulkan perasaan syahwat. Dan manusia yang takut pada Allah akan takut untuk melakukan walau sekecil dosa.
Wahai lelaki,engkau sangat dayus jika membuatkan wanita jauh daripada mendekati Tuhannya. Kawallah dirimu dan pasanganmu daripada hidup diselubungi dosa. Andai engkau sudah cukup bersedia, barulah dibina masjid itu. Bukan sekadar memberi harapan kepada seorang yang lembut hatinya bernama wanita. Dan bukan membawa pasanganmu itu ke neraka.
Kalau kata cinta, bawa mereka ke syurga.
Allahua'lam..
*Reflection*