Wednesday, July 03, 2013

Aku cemburu--

Kau--
Yang disana itu
Di Syria, Rohingya, Gaza, di mana-mana sahaja--

Tempatmu di syurga
Syurga memanggilmu
Syurga menyeru namamu
Dengan panggilan salam sejahtera keatasmu

Adikku, abangku, kakakku, saudaraku--
Aku tahu syurga tempatmu
Dunia terlalu kejam buatmu
Biarkan.

Bergembiralah kamu--
Kau dijanjikan sungai susu, buahan syurga
Tiada sesaat dikau kelaparan
Tiada masa dikau diseksa
Tiada.

Kau tinggalkan dunia yang penuh kepura-puraan
Cukuplah, cukuplah syurga tertinggi dijanji illahi
Tiada apa yang kau harus risau lagi
Kau diberi ujian di dunia, untuk kau menikmati syurga--
nan kekal abadi
setia menanti

Saat itu--
Hanya suara indah kedengaran
Bukan lagi suara tangisan

Aku cemburu--
Aku ingin syahid sepertimu

                                           *Reflection*

Friday, May 10, 2013

Dakwah, Tarbiyyah Bukan untuk Si Manja


Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas.
Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa.
Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti, yang senang dan mudah join, yang penat, bersusah payah elak.
Tarbiyyah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia macam boss, hanya tunggu information.
Tarbiyyah bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.

Tarbiyah juga bukan untuk yang cepat mengalah.
Yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah dan tathqif dalam diari hanya selepas ditolak semua agenda dan upacara-upacara 'penting' yang lain.
Yang hanya pandai cakap (dan menulis), tapi amal kosong.
Yang hanya tahu compare jemaah itu dan jemaah ini.
Yang boleh mengkritik dan menilai harakah ini dan itu.
Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain. 

"Tarbiyyah bukanlah segala-galanya. Tetapi segala-galanya bermula dengan Tarbiyyah."

Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri.
Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa' hanya kerana nak disebut sebagai ahli dalam harakah ini dan itu.
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute.
Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah.
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh.
Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang ber'air cond' dan laju. Yang tak nak naik bas, public transport dan yang kena berpeluh-peluh.
Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri, alasan itu dan ini, penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.
Bukan bagi yang meletakkan dakwah hanya untuk mencari calon akhawat atau ikhwah sebagai sang isteri dan suami.

Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta.
Yang hidup mewah dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin dan pakaian comot.
Yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman pencerahan bila dia dalam kesusahan.

Tanpa anda, orang yang sering berALASAN ini,
dakwah akan tetap terus berjalan.
Islam akan tetap berjaya.
Ummah akan tetap terpelihara.

Cuma tanpa PENCERAHAN,
Tanpa TARBIYYAH,
Tanpa DAKWAH,
Belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti.

Tak mengapa, teruskan hidup anda seperti biasa. Dakwah tidak memerlukan anda. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda.
berbahagialah seadanya.

:"(

                                      *Reflection*

Wednesday, May 08, 2013

Muhasabah PRU 13

Astaghfirullahalazim, Astaghfirullahalazim, Astaghfirullahalazim,

Barisan Nasional perlu muhasabah.


Pakatan Rakyat juga perlu muhasabah.


Kita-kita ini lagilah perlu muhasabah.


Muhasabah menghilangkan gundah.


Muhasabah mengembalikan kita kepada Allah.


Muhasabah menyedarkan kita ini hanya hamba Allah.


Namun apa yang dilihat hanyalah kata nista dan tohmahan fitnah.


Di media sosial, di surat khabar, apalagi di media massa.


Tidak kiralah anda di pihak mana, pihak yang betul tidak sentiasa betul, pihak yang salah bukan sentiasa salah.


Sebelum pilihanraya dan selepas pengugumannya bukan medan kita untuk menambah dosa. Malah malaikat rakib dan atib tidak pernah berhenti bekerja.


Pelihara tutur kata, jaga adab dan pergaulan, kawal emosi kita, saya tahu, setiap dari kita berdarah muda. Jadi gunakanlah masa 'muda' itu untuk berbakti kepadaNya.


Doa, munajat dan zikir yang saban hari menitip di bibir bukan hanya sebelum pilihanraya. Teruskanlah selagi dikurniakan nikmat udara, agar iman senantiasa terjaga.


Kemenangan Islam pasti datang, itu janjiNya. Pesan Imam Hasan Al Banna, "Tegakkan Islam dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak di atas bumi kamu."


Allahua'lam


                                           *Reflection*

Thursday, April 04, 2013

Mesir itu Kaya Hikmah

Seorang anak perempuan kecil sedang nyenyak tidur di bangku keretapi, penat barangkali menjaja barang sepanjang hari. Umurnya mungkin sahaja 5 atau 6 tahun. Cukup matang bagi anak-anak seumur dengannya mencari duit sedangkan di satu dunia lain, anak-anak kecil sedang riang menghadiri tadika, bermain masak-masak dan belajar ABC.

Saya hanya memerhati dari jauh dengan mata hikmah. Orang sekeliling tidak sampai hati ingin mengejutkan anak kecil itu sehinggalah seorang pemuda berumur 9 atau 10 tahun masuk ke dalam gerabak. Sempat lagi menjual barang di sepanjang gerabak sambil mencampak gula-gula getah kepada penumpang. Sampai ke satu stesen, dikejutnya si kecil itu, diajak pulang ke rumah.

Mahu sahaja saya membawanya pulang ke rumah bagi membersihkan dirinya lebih-lebih lagi apabila saya melihat kuku di jari jemarinya dipenuhi darah yang entah keluar dari mana. Ia sungguh merobek hati seorang wanita, apalagi seorang ibu. Jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Muhasabah membelenggu diri.


Gambar hiasan

Saya melihat cupcakes red velvet yang dipegang rapi. Dengan mudah saya mengeluarkan duit untuk membeli sebiji cupcakes berharga 10 junaih, sedangkan anak-anak ini bekerja, bertukar gerabak sepanjang hari hanya untuk mendapat 1 junaih. Doa saya, moga anak-anak ini dimurahkan rezeki, besarlah hikmah apabila Allah melihat nilaian usaha itu melebihi hasilnya.

Di satu sudut lain, saya teringat tawaran kakak untuk mencuba segelas jus di awal ketibaan saya di bumi anbia' itu. Hati saya terdetik saat itu, pastinya peniaga di sini sama seperti di Malaysia, hanya mencampur ais dalam kuantiti yang banyak dan meletakkan harga mahal pada sebungkus air.

Nyata telahan saya menjauhi sasaran. Dua batang tebu dilalukan ke dalam mesin dan jusnya melalui seketul ais yang sangat besar. Hasilnya sebuah gelas Jus Tebu semata-mata tanpa ais yang menyejukkan diri dengan harga 1 Junaih (RM 0.50). Moga Allah memberkati mereka.

*Reflection*

Tuesday, March 05, 2013

Menulis untuk ummah

'L'

Meninggalkan penulisan blog dalam satu jangka masa yang lama kadang kala merisaukan. Blog yang ditinggalkan tanpa tulisan atau 'update' terbaru akan menyebabkan blog itu mati, seperti tidak bernyawa lagi. Saya tersentak, apabila memikirkan ribuan, barangkali jutaan blog yang mungkin mampu memberi manfaat bagi pembangunan umat Islam, dibiarkan mati begitu sahaja tanpa penulisan yang baik, termasuklah blog ini.

Huruf 'L' sengaja saya letakkan di awal perenggan, kerana satu huruf itu menunjukkan kesungguhan seorang penulis 'pemalas' seperti saya, untuk terus menulis, dengan ilmu yang cetek, dan pengalaman hidup yang sangat sedikit. Tetapi saya rasakan, cukuplah satu huruf sehari untuk memulakan sebuah penulisan yang bermanfaat kepada ummah. 

Masa, tenaga, malah kepenatan jejari menaip papan kekunci bagi menyediakan sebuah penulisan demi kemaslahatan ummah, akan dikira pahalanya di sisi Allah Taala, asal sahaja niat itu keranaNya. Dikurniakan keupayaan untuk mencurahkan atau meluahkan sesuatu yang bermanfaat merupakan anugerah daripada Allah. Tidak semua orang dikurniakan nikmat sebegitu.

Jesteru, gunakanlah keupayaan itu sebaiknya. Usahakanlah untuk menulis, walaupun hanya dengan satu huruf setiap hari. Saya kira, usaha untuk menulis itu akan diiringi dengan pembacaan yang baik, penilaian dan pemikiran yang seimbang dan amal yang berterusan. Dengan Izin Allah.

Allahua'lam